Rabu, 16 Mei 2018

Ucapan Guru Besar Sempena Sambutan Hari Guru SK Kuala Kubu Bharu 2018



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Yang dihormati barisan Penolong Kanan SK Kuala Kubu Bharu
Yang saya kasihi serta diraikan, barisan guru SK Kuala Kubu Bharu
Serta anak –anak didik SK Kuala Kubu Bharu yang cemerlang

Pertamanya, marilah kita melafazkan rasa kesyukuran kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita berada dalam majlis yang mulia ini dan kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat SK Kuala Kubu Bharu bagi Tahun 2018, dalam suasana yang ceria, harmoni dan tenang. “GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN” itulah tema perayaan hari guru pada tahun ini.


Menjadi contoh, mencurah ilmu,
Tak kenal lelah, tak tahu jemu;
Itulah cikgu, itulah guru,
Besar jasanya sejak dahulu.

Guru-guru yang dikasihi,
Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan dan kepercayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi dan masa depan murid. Justeru, amatlah wajar jika Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

 Usman Awang pernah berkata,

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik sekolah ini mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa. Sejauh mana dan setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, Berjaya dan cemerlang dalam kehidupan. Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar.Kita sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.

Gurindam Guru Sejati

Guru sejati muhasabah diri,
Bijak bertindak dan berdikari.

Guru sejati senyum mesra,
Sentiasa menggunakan budi bicara.

Senyuman dipapar menawan hati,
Tutur katanya penuh bererti.

Guru sejati guru berkualiti,
Gigih mengajar sepenuh hati.

Rela berkorban apa sahaja,
Kurang cakap banyak bekerja.

Guru sejati umpama lebah,
Menebar ilmu sabar tabah.

Membina, membentuk insan berakhlak
Gigih membimbing tak pernah jelak.

Marahnya sayang bencinya kasih,
Mulutnya manis hatinya bersih.

Guru sejati sentiasa proaktif,
Tenang tenteram berfikiran positif.

Guru sejati guru bestari,
Hidup bermotivasi jati diri.

Guru sejati berbudi bahasa,
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.


Guru-guru SK Kuala Kubu Bharu yang dikasihi,


Hadiah sebesar gunung, saya tak punya.Tapi apa yang mampu saya beri hanyalah doa kepada yang Maha Esa, agar cikgu diberi kesihatan yang baik, kesabaran dalam mendidik anak-anak murid, keberkatan hidup, rezeki yang melimpah ruah dan keluarga yang sejahtera.

Berilah keihklasan dalam menjalankan tugas.Nak kaya memanglah sukar, tapi nak jadi jutawan akhirat, insya’Allah, saham besar terbentang luas di sana.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah  ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi.


  

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU DAN SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN.
“GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN”


                                                                    TERIMA KASIH CIKGU!!

MAJLIS RESTU ILMU 2