Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Yang dihormati barisan Penolong Kanan SK
Kuala Kubu Bharu
Yang saya kasihi serta diraikan, barisan
guru SK Kuala Kubu Bharu
Serta anak –anak didik SK Kuala Kubu Bharu
yang cemerlang
Pertamanya, marilah kita
melafazkan rasa kesyukuran kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah
kurnia-Nya, dapat kita berada dalam majlis yang mulia ini dan kita dapat bersama-sama
meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat SK Kuala Kubu Bharu bagi Tahun 2018, dalam suasana
yang ceria, harmoni dan tenang. “GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN” itulah
tema perayaan hari guru pada tahun ini.
Menjadi contoh, mencurah
ilmu,
Tak kenal lelah, tak tahu
jemu;
Itulah cikgu, itulah
guru,
Besar jasanya sejak dahulu.
Guru-guru yang dikasihi,
Sambutan
Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis
tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa.
Masyarakat sentiasa memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga
terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan dan kepercayaan
yang sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah
pembangunan potensi dan masa depan murid. Justeru, amatlah wajar jika Sambutan Hari
Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada insan
yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita memberi ruang untuk menyatakan
rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Sempena Sambutan Hari
Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik sekolah ini mengimbau sejenak
tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa. Sejauh mana dan setakat
manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan
yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, Berjaya dan cemerlang dalam kehidupan.
Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang
sangat besar. Di tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya
meletakkan harapan mereka lebih utama daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya
inilah ciri-ciri guru sebenar.Kita sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan
tenaga, malah dengan wang ringgit.
Gurindam Guru Sejati
Guru sejati muhasabah diri,
Bijak bertindak dan berdikari.
Guru sejati senyum mesra,
Sentiasa menggunakan budi bicara.
Senyuman dipapar menawan hati,
Tutur katanya penuh bererti.
Guru sejati guru berkualiti,
Gigih mengajar sepenuh hati.
Rela berkorban apa sahaja,
Kurang cakap banyak bekerja.
Guru sejati umpama lebah,
Menebar ilmu sabar tabah.
Membina, membentuk insan berakhlak
Gigih membimbing tak pernah jelak.
Marahnya sayang bencinya kasih,
Mulutnya manis hatinya bersih.
Guru sejati sentiasa proaktif,
Tenang tenteram berfikiran positif.
Guru sejati guru bestari,
Hidup bermotivasi jati diri.
Guru sejati berbudi bahasa,
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.
Hidup bermotivasi jati diri.
Guru sejati berbudi bahasa,
Berkhidmat demi nusa dan bangsa.
Guru-guru SK Kuala Kubu Bharu yang dikasihi,
Hadiah sebesar gunung, saya tak punya.Tapi apa yang mampu saya beri
hanyalah doa kepada yang Maha Esa, agar cikgu diberi kesihatan yang baik,
kesabaran dalam mendidik anak-anak murid, keberkatan hidup, rezeki yang
melimpah ruah dan keluarga yang sejahtera.
Berilah keihklasan dalam menjalankan
tugas.Nak kaya memanglah sukar, tapi nak jadi jutawan akhirat, insya’Allah,
saham besar terbentang luas di sana.
Akhir kata, kepada semua
warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada
anak didik di sekolah ini amat dihargai dan
sangat disanjung tinggi.
SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU DAN SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN.
“GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN”